

-ertinya 'bercerai-berai. dinamakan demikian kerana orang-orang arab pada bulan itu bertempiaran ke mana-mana tempat untuk mancari air.
Kisah ini datang dari lubuk hati saya sendiri, apa yang saya rasa dan apa yang saya alami sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengeluh apatah lagi mengingkari apa yang telah Allah s.w.t tetapkan kepada saya dan kita semua orang yang beriman dengan-Nya.
Kisah ini saya khabarkan agar apa yang saya lalui tidak berlalu begitu saja tanpa saya kongsi dan tanpa saya rekodkan sebagai panduan bagi diri saya sendiri untuk hari-hari kemudian.
Saya sama seperti orang lain, punya keinginan untuk menyayangi dan disayangi. Walau bagaimanapun, tidak mudah bagi saya untuk jatuh hati pada seorang wanita.
Saya tidak mencari seorang wanita untuk dijadikan kekasih, tetapi saya mencari seorang teman pendamping hidup saya hingga ke akhir hayat saya. Seorang yang boleh mengingatkan saya kiranya saya terlupa, dan yang paling penting wanita yang amat saya percayai untuk mendidik anak-anak saya kelak dan generasi yang akan lahir daripada keluarga kami nanti.
Untuk itu, sejak di bangku sekolah lagi saya telah letakkan beberapa syarat bagi seorang wanita untuk hadir dalam hidup saya, dan dialah orangnya.
Dalam masa beberapa bulan saya belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Petaling Jaya, banyak perkara yang telah saya pelajari.
Yang paling penting buat saya ialah, bagaimana saya mula mengenali wanita-wanita dalam hidup saya kerana saya sejak dari sekolah rendah belum pernah bergaul secara langsung dengan seorang wanita pun dan saya amat peka terhadap larangan pergaulan antara lelaki dan wanita kerana saya bersekolah di sebuah sekolah menengah agama lelaki berasrama penuh.
Lantaran itu, saya tidak pernah punya hati untuk memberi cinta atau menerima cinta walaupun peluang itu hadir beberapa kali.
Saya mula mengenali si dia apabila kami sama-sama terpilih untuk mengendalikan sebuah organisasi penting di tempat kami belajar. Ditakdirkan Allah s.w.t, dia menjadi pembantu saya. Dari situlah perkenalan kami bermula.
Dia seperti yang telah saya ceritakan, bertudung labuh dan sentiasa mengambil berat tentang auratnya terutama stokin kaki dan tangannya. Itulah perkara pertama yang membuatkan saya tertarik padanya.
Dia amat berhati-hati dalam mengatur butir bicaranya, bersopan-santun dalam mengatur langkahnya, wajah yang sentiasa berseri dengan iman dan senyuman, dan tidak pernah ke mana-mana tanpa berteman.
Suaranya amat sukar kedengaran dalam mesyuarat kerana dia hanya bersuara ketika suaranya diperlukan dan tidak sebelum itu. Saya melihat dia sebagai seorang mukminah solehah yang amat menjaga peribadinya dan maruah dirinya. Saya tidak pernah bercakap-cakap dengannya kecuali dia punya teman di sisi dan atas urusan rasmi tanpa dipanjangkan- panjangkan.
Saya seorang yang amat kuat bersembang dan sentiasa punya modal untuk berbual-bual seperti kata teman saya, tetapi dengan dia saya menjadi amat pemalu dan amat menjaga. Bagi saya, itulah wajah sebenar seorang wanita solehah. Dia mampu mengingatkan orang lain dengan hanya menjadi dirinya, tanpa perlu berkata-kata walau sepatah.
Pada hari terakhir saya di sana, saya punya tugas terakhir yang perlu saya selesaikan sebelum saya melepaskan posisi saya dan semua itu melibatkan dia.
Sebaik sahaja semua kerja yang terbengkalai itu siap, saya mengambil peluang untuk berbual-bual dengan dia. Saya bertanya perihal keluarga dan apa yang dia rasa bertugas di samping saya untuk waktu yang amat sekejap itu.
Alhamdulillah dia memberikan respon yang baik dan dari situlah saya mula mengenali dengan lebih dalam siapa sebenarnya pembantu saya ini.
Namun, apa yang memang boleh saya nampak dengan jelas, dia amat pemalu dan dia amat kekok semasa bercakap dengan saya. Selepas itu barulah saya tahu, sayalah lelaki pertama yang pernah berbual-bual dengan dia bukan atas urusan rasmi sebegitu.
Di situlah saya mula menyimpan perasaan, tapi tidak pernah saya zahirkan sehinggalah saya berada jauh beribu batu daripadanya.
Semasa saya berada di Jordan, saya menghubunginya kembali dan menyatakan hasrat saya secara halus agar dia tidak terkejut.
Alhamdulillah, dia menerima dengan baik dan hubungan kami berjalan lancar selama empat bulan sebelum saya balik bercuti ke Malaysia. Kadang-kadang saya terlalai dalam menjaga hubungan kami dan dialah yang mengingatkan.
Dialah yang meminta agar kami mengehadkan mesej- mesej kami agar tidak terlalu kerap. Semua itu menguatkan hubungan kami dan bagi saya dialah teman hidup yang sempurna buat saya.
Walau bagaimanapun, sewaktu saya pulang ke Malaysia bulan lepas, ummi dapat menghidu perhubungan kami. Saya tahu ummi tidak berapa suka anak-anaknya bercinta tetapi saya tidak pernah menjangka ummi akan menghalangnya. Tetapi perhitungan saya silap, amat silap.
Buat pertama kali, adik perempuan saya memberitahu ummi sudah tahu perihal saya dan ummi tidak suka. Saya tidak pernah menganggapnya sesuatu yang serius sehinggalah ummi bercakap secara peribadi dengan saya pada satu hari. Saya masih ingat lagi kata-kata ummi yang buat saya tak mampu membalas walau sepatah.
"I haven't found any entry in Islam that permit what you are doing right now. I haven't heard from anyone that love before marriage is permitted. But I know there's no relationship between male and female except for what is very important and official between them."
"So, may I know what kind of relationship you are having now and I want to hear it from your mouth that it is legal in what you have been learning until now."
"Not a single phrase, nor a word."
"My sweetheart, if you want to build a family, a faithful one, you can never build it on what Allah has stated as wrong and proven false by the way Rasulullah p.b.u.h has taught us. A happy and blessed family come from Allah, and you don't even have anything to defend it as blessed if the first step you make is by stepping into what He has prohibited."
"You can't have a happy family if Allah doesn't help you so, and you must know in every family that stands until their dying day, they have Allah on their side. You can't expect Him to help you if you did the wrong step from the very beginning."
Saya tiada kata untuk membalas kerana semuanya benar. Saya tahu kebenaran itu sudah lama dulu, tetapi saya tak mampu untuk melawan kehendak nafsu saya sendiri. Saya akui, saya tertipu dengan apa yang dipanggil fitrah, dan apa yang dipanggil sebagai keperluan manusia. Cinta tak pernah membawa kita ke mana, andai cinta itu bukan dalam lingkungan yang Allah redha.
Tiada cinta yang Allah benarkan kecuali selepas tali perkahwinan mengikatnya. Itulah apa yang telah saya pelajari lama dahulu dan dari semua kitab Fiqh yang saya baca, tiada satu pun yang menghalalkannya.
Saya tahu kebenaran ini sudah lama dahulu, tetapi saya tidak kuat untuk menegakkannya. Saya tidak mampu untuk menundukkan kemahuan hati saya. Dan kata-kata ummi memberikan saya kekuatan untuk bangkit kembali dari kesilapan saya selama ini.
Ummi berkata:
"It's not me who want you to make a decision like this, but Allah tells you so."
Saya percaya, itulah yang terbaik buat saya dan dia. Dengan kekuatan itulah saya terangkan kepadanya, dan alhamdulillah dia faham. Amat faham.
Walaupun air matanya seakan air sungai yang tidak berhenti mengalir, tetapi dia tahu itulah yang terbaik buat kami. Dia meminta maaf kepada ummi kerana menjalinkan hubungan yang tidak sah dengan saya, tetapi ummi memberi isyarat, janganlah bimbang.
Andai ada jodoh kamu berdua, insya-Allah, Dia akan temukan kamu dalam keadaan yang jauh lebih baik dari sekarang.
Hidup saya sekarang lebih tenang kerana tiada apa yang menggusarkan hati saya lagi. Hidup saya lebih suci dan saya boleh bercakap kembali tentang agama saya dengan lebih bebas tanpa dihantui oleh perasaan berdosa.
Bagi saya, dan dia, inilah saat untuk kami muhasabah kembali diri kami dan kami betulkan kembali segala kesilapan yang telah kami buat. Inilah saat untuk kami kejar kembali cita-cita kami dan sediakan diri untuk menjadi seorang ibu dan ayah yang berakhlak mulia dan berperibadi tinggi. Inilah masanya kami insafi kembali keterlanjuran kami dahulu dan memohon moga-moga Allah sudi maafkan kami.
Sesungguhnya Ya Allah, aku insan yang sangat lemah. Aku tidak mampu melawan godaan syaitan yang tidak pernah jemu, juga hambatan nafsu yang tidak pernah lesu. Ampunkanlah aku.
Walau bagaimanapun, perpisahan ini hanya untuk sementara. Saya telah berjanji dengan diri saya sendiri, dialah yang akan jadi teman hidup saya nanti.
Sesungguhnya pencarian saya untuk seorang calon isteri telah berakhir. Insan seperti dia hanya satu dalam seribu. Mana mungkin saya melepaskan apa yang amat berharga yang pernah hadir dalam hidup saya.
Insya-Allah, sekiranya Allah s.w.t panjangkan umur, sebaik sahaja saya tamatkan pengajian saya di sini, saya akan kembali ke Malaysia dan melamarnya untuk menjadi permaisuri di hati saya. Insya-Allah, saya akan setia menunggu saat itu, dan saya akan berusaha sedaya-upaya saya untuk mengekalkan kesetiaan saya.
"Sekiranya kita telah bertemu dengan seorang insan yang amat mulia sebagai teman dalam hidup kita, janganlah lepaskannya kerana kita tidak tahu bilakah pula kita akan bertemu dengan insan yang seumpamanya."
Siapakah lagi dalam dunia ini yang menjaga adab berjalan antara lelaki dan perempuan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Musa a.s dan puteri Nabi Syuaib a.s beribu-ribu tahun dahulu?
pengalaman seorang ustaz
Beberapa hari selepas kami berada di Mekah, saya mula terdengar cerita-cerita daripada jemaah yang saya bawa tentang hubungan dingin antara seorang ibu dengan anak lelaki dan menantunya. Si ibu berusia 60-an sementara anak dan menantunya akhir 30-an. Mereka bertiga ialah antara beberapa ratus jemaah yang saya bawa untuk mengerjakan haji beberapa tahun lalu.
Saya diberitahu, hubungan dingin itu sebenarnya bermula sejak di Malaysia lagi kerana wanita berkenaan kurang senang dengan perangai menantunya yang sombong dan mengongkong suami. Kerana hidup dalam kemewahan, menantunya itu tidak menghormati wanita berkenaan selayaknya sebagai mentua, apatah lagi seperti ibunya sendiri.
Seperkara lain yang wanita itu benar-benar kecewa ialah biarpun anaknya itu ahli perniagaan berjaya, tetapi apabila berhadapan dengan isteri, dia jarang membantah, apa lagi mengangkat suara. Apa sahaja kehendak isteri diturutkan walaupun kadangkala menyinggung perasaan ibu dan keluarganya.
Walaupun telah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga, wanita tersebut kesal kerana anak dan menantunya itu amat jarang balik ke kampung. Apatah lagi hendak tidur disana. Kalau singgah pun menantunya tidak mahu berada lama di rumahnya. Pelbagai alasan diberi supaya mereka cepat berangkat pulang.
Si ibu tadi telah menasihatkan anaknya supaya menegur sikap buruk isterinya itu, tetapi ia seperti tidak dilayan. Menantunya terus bongkak dan sombong. Si ibu juga mengingatkan anaknya jangan terlalu menurut kehendak isteri, namun dari sehari ker sehari, anaknya itu tetap mengikut telunjuk isterinya.
Saya dimaklumkan juga, wanita tersebut berkecil hati kerana menantunya tidak senang dengan kehadirannya di Mekah. Kalau boleh dia mahu pergi ke tanah suci bersama suaminya sahaja tetapi kerana lelaki berkenaan berkeras juga hendak membawa ibunya sekali, dia terpaksa mengalah, namun dengan bibir yang memuncung panjang dan kata-kata sinis serta sindiran tajam. Kerana itulah sejak sampai ke Madinah dan Mekah hubungan dingin itu menjadi semakin parah.
Oleh kerana mereka tinggal sebilik, si anak dapat melihat sendiri di depan matanya hubungan buruk antara ibu dengan isterinya. Pada mulanya dia tidak mengendahkan sangat kerana kedua-duanya orang yang dia sayang. Tambahan pula dialah yang membayar semua perbelanjaan mereka bertiga untuk ke Mekah.
Tetapi semakin hari perselisihan faham itu bertambah parah. Hubungan ibu lelaki tadi dengan isterinya semakin buruk. Bukan sekali mereka bertegang leher. Si ibu yang telah agak lanjut usianya, pastilah hendak supaya sentiasa dilayan hati dan perasaannya. Tetapi menantunya pula sombong dan panas baran. Dia tidak suka melayan kehendak mentuanya itu yang baginya cerewet.
Akibat perselisihan faham, mereka tidak menegur sapa dan si ibu pula enggan memakan makanan yang dimasak oleh menantunya itu. Ini menyebabkan si anak tadi terpaksa membeli makanan diluar untuk ibunya.
"Macam mana isteri kau nih Man. Emak pun tak dihormatnya. Emak minta tolong sikit dia membebel. Emak nak itu dia tak layan, nak ini, dia tak peduli, "rungut si ibu kepada anaknya.
"Abang tengok-tengoklah sikit emak abang tu. Cerewet, nak itulah, nak inilah, macam-macam. Saya dah cakap jangan bawa abang nak bawa juga. Hah...sekarang macam mana?" kata si menantu pula dengan suara yang kasar.
Kedua-duanya memberikan alasan masing-masing hingga si anak berasa amat tertekan. Hendak dimenangkan ibunya, khuatir isteri bermasam muka. Hendak dimenangkan isteri, khuatir ibunya pula terasa hati. Jadi sedaya yang boleh dia cuba memekakkan telinga dan membutakan mata daripada pertelingkahan itu.
Perbalahan mereka tiga beranak terbawa-bawa keluar. Apabila berjalan, duduk di meja makan atau bersiar-siar, masing-masing membawa arah sendiri. Akhirnya masalah itu dihidu oleh jemaah-jemaah lain. Mereka mula menjadi perhatian. Begitu juga saya. Pelbagai cerita yang saya dengar tentang mereka.
Selepas lama berselisih faham, si anak sedikit demi sedikit menyebelahi isterinya. Bagi lelaki itu, ibunya yang bersalah kerana terlalu banyak meminta, cerewet dan terlalu ambil hati.
"Orang tua, macam tulah yang," kata lelaki itu memujuk isterinya.
Suatu hari, si ibu memanggil anaknya. "Man, boleh tak kau belikan sejadah untuk emak? Di kedai bawah tu aja, "katanya. "Emak nak berapa?" soal anaknya. "Dalam 10 helai." "Eh, nak buat apa banyak-banyak?" soal si anak lagi. "Alaaah....nak buat kenangan, lebih tuh nak kasi pada kawan-kawan dan orang kampung. Dapat juga pahala, kau pun dapat pahala sama," kata si ibu dengan tersenyum.
Mendengar permintaan mentuanya itu, isteri si anak menarik muka masam. Matanya merenung tajam wajah suaminya sebagai isyarat "jangan layan!" Kemudian mukanya ditoleh ke arah lain. Ekoran itu, si anak yang pada mulanya mahu menuruti permintaan ibunya, kembali ke tempat duduk.
"Tak bolehlah mak. Saya penatlah. Nantilah bila nak balik nanti saya belikan," jawab si anak.
Tetapi kata-kata itu menyebabkan ibunya berkecil hati. Dia kecewa anak kesayangannya itu sanggup mengetepikan permintaannya, sebaliknya menurut saja apa kata isteri.Lantas dia berkata,"Kau nih Man,emak nak benda tu pun tak boleh beri. Tapi kalau orang rumah kau, dah sampai penuh begnya pun kau nak belikan barang lagi. Emak ni kau belikan sedikit aja. Sampai hati kau Man."
Sepatutnya kata-kata ibu tadi diterima dengan keinsafan tetapi tanpa disangka anaknya naik berang.Dengan meninggikan suara, dia memarahi ibunya.
"Emak ni! Apa mak nak buat dengan barang-barang tu? Mak kan dah tua, buat apa nak beli itu beli ni. Isteri saya adalah sebab saya beri macam-macam, sampai penuh beg. Saya ada anak. Saya nak belikan barang-barang untuk anak kami juga!" katanya dengan muka masam mencuka. Dadanya turun naik menahan marah. Isterinya pula tersenyum puas.
Si ibu terkejut, lantas berkata, "Sampai hati kau cakap macam tu dengan emak. Aku ni emak kau, tak boleh kau tengking herdik. Kalau sayang bini pun janganlah sampai emak sendiri engkau ketepikan, engkau marah-marah, "katanya dengan kecewa.
Si anak bertambah berang. "Emak tu dah tua,buatlah cara tua! Jangan nak minta itu minta ini!"
Ibunya makin terkilan.Hatinya begitu hancur apabila anak yang dipeliharanya sejak kecil dengan penuh kasih sayang sanggup mengherdiknya sebegitu rupa. Tindakan anaknya yang sudah melampau itu menyebabkan si ibu marah.
Sambil merenung tajam wajah anaknya, si ibu berkata, "Man, Aku ni emak kau tau. Aku yang lahirkan engkau. Bila masa isteri engkau beranakkan kau? Bila masa dia besarkan kau?
"Ingat Man, emaklah yang susah payah jaga kau, cari duit nak besarkan kau, hantar ke sekolah sampai kau berjaya sekarang. Tapi bila dah berjaya kau buat emak macam ni. Isteri kau lebihkan daripada emak kau sendiri. Dengan isteri kau cakap dengan baik tapi emak kau sendiri kau tengking-tengkingkan."
Dan dengan suara tegas si ibu tadi menyambung, "Kalau beginilah sikap engkau Man, mulai hari ini emak haramkan susu emak yang dulunya kau minum!"
Takdir Allah, serentak dengan kata-kata si ibu tadi,anaknya terus jatuh terjelepok ke lantai. Bagai panahan petir, kata-kata tersebut seolah-olah "membunuh" si anak tadi serta-merta. Begitu cepat balasan Allah kepada hamba-Nya. Tanpa menoleh kepada anaknya yang terbaring di lantai, si ibu tadi bergegas keluar dari biliknya. Sambil berjalan dia mengesat air matanya yang menitis dengan lengan bajunya. Dia tidak menoleh ke belakang lagi. Sementara itu si anak pula terkulai dengan mata terkebil-kebil. Badannya longlai dan lembik. Isterinya pula menangis tersedu-sedu.
Sejak itu kesihatan si anak mula terganggu. Badannya seperti sedang sakit, namun apabila diperiksa, doktor gagal mengesan apa puncanya. Bagaimanapun, bala yang menimpanya itu masih gagal menyedarkan si anak tadi. Dia dan isterinya tetap enggan bertegur sapa dengan ibunya. Apa yang telah menimpanya langsung tidak diambil iktibar. Bagi lelaki berkenaan, apa yang berlaku bukanlah balasan Allah dan tubuhnya tidak sihat juga bukan satu petunjuk daripada Allah tentang kesilapannya. Ia cuma kebetulan.
Tinggallah si ibu tadi memendam perasaan kesal dan kecewa. Biarpun duduk sebilik dia diasingkan oleh anak dan menantunya sendiri. Makanan dan minuman terpaksa dia pergi membelinya di luar. Di bilik, dan apabila berada di luar dia lebih banyak termenung dan menangis. Jika jemaah lain bertanya mengapa, atau di mana anak dan menantunya, wanita tersebut tidak menjawab. Sebaliknya terus menangis dan menangis.
Anak yang derhaka tidak akan terlepas daripada balasan Allah. Kesihatan si anak tadi semakin buruk. Badan dan kakinya lemah hingga dia tidak terdaya untuk berdiri sendiri. Akibatnya si anak itu terpaksa dipapah dan diusung semasa wukuf, sai, melontar jamrah, tawaf dan sebagainya. Badannya benar-benar lemah untuk melakukan ibadah-ibadah tersebut.
Sementara itu, kerana tidak ada lagi tempat bergantung, si ibu tadi menunaikan haji bersama-sama kami, dengan bantuan dan pertolongan kami, bukan oleh anak dan menantunya. Masing-masing menjauhkan diri dan tidak bertegur sapa seolah-olah tidak kenal antara satu sama lain. Suatu hari saya menemui wanita tersebut.
"Mak aji...sudahlah tu. Maafkanlah anak makcik tu. Yang lepas tu lepaslah, dia dah terima balasannya,"kata saya.
Wanita itu cuma mendiamkan diri. Dia menangis dan mengesat air matanya yang gugur. Saya terus juga menasihatkannya, tapi seperti tadi, wanita itu langsung tidak mahu menjawab barang sepatah pun. Dia sebaliknya cuma menangis. Dari raut wajahnya ternyata dia benar-benar kesal dengan sikap anak dan menantunya hingga dia tidak sanggup lagi bercakap tentang mereka.
Selepas itu saya menemui anaknya pula.Lelaki berkenaan seolah-olah terpinga-pinga dan tidak tahu apa yang telah berlaku dan apa yang sepatutnya dibuat untuk menyelesaikan masalah tersebut.Isterinya pula cuma mencebikkan bibir bila saya sebut nama mentuanya.
Begitulah keadaan mereka hingga selesai musim haji dan seterusnya kembali ke tanah air. Sejak itu saya tidak menghubungi mereka lagi. Khabar yang saya terima memang mengejutkan. Saya diberitahu, sejak pulang ke tanah air si anak tadi sakit terus-menerus. Penyakitnya agak kronik dan gagal diubati doktor.
Namun dalam tempoh itu hubungan mereka tiga beranak tetap tidak berubah. Anak yang telah mendapat balasan Allah juga masih tidak insaf dengan kesilapannya. Ibu pula yang telah terkilan dengan sikap anaknya, tetap enggan memaafkannya. Sejak kembali dari Mekah,mereka langsung tidak mengunjungi antara satu sama lain.
Berita terakhir saya terima ialah lelaki terbabit telah meninggal dunia selepas menderita sakit selama 10 tahun.
"TUHANMU TELAH MEMERINTAHKAN HENDAKLAH KAMU TIDAK BERBAKTI KECUALI KEPADA-NYA DAN BERBUAT BAIK KEPADA ORANG TUA, JIKA SALAH SATU ANTARA MEREKA ATAU KEDUA-DUANYA SUDAH SAMPAI UMUR TUA DAN BERADA DALAM PEMELIHARANMU, MAKA JANGANLAH KAMU KATAKAN KEPADA MEREKA ITU KATA-KATA "AH", DAN JANGAN KAMU BENTAK MEREKA TETAPI KATAKANLAH KEPADA MEREKA BERDUA KATA-KATA MULIA. DAN RENDAHKANLAH TERHADAP MEREKA BERDUA SAYAP KERENDAHAN KERANA KASIH, DAN DOAKANLAH KEPADA TUHANMU: BERILAH RAHMAT KEPADA MEREKA ITU SEBAGAIMANA MEREKA TELAH MEMELIHARAKU PADA WAKTU AKU MASIH KECIL."
[Surah al-Israa' 7:23-24.]
Diriwayatkan oleh Hakim, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
"SEMUA DOSA AKAN DITANGGUHKAN OLEH ALLAH SAMPAI HARI KIAMAT NANTI APA SAHAJA YANG DIA KEHENDAKI KECUALI DERHAKA KEPADA ORANG TUA, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENYEGERAKAN KEPADA PELAKUNYA DALAM HIDUPNYA SEBELUM MENINGGAL DUNIA."