Point2sop

Followers

Thursday, April 14, 2011

Bab Perkahwinan

PENGENALAN

Perkahwinan dianggap sebagai salah satu daripada sunah para nabi dan rasul.

Firman Allah s.w.t :

Maksudnya : Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutus beberapa rasul sebelum kanu dan Kami menjadikan untuk mereka isteri-isteri dan keturunan.

Surah al-Ra’d : 38

Kurniaan nikmat Allah kepada hamba-hambanya agar menerusi perkahwinan akan lahir pula zuriat keturunan yang beriman dan bertakwa yang akan memakmurkan bumi Allah s.w.t. Perkahwinan dianggap sebagai suatu ibadat yang dapat menyempurnakan sesetengah daripada agama seseorang, dengannya dia dapat bertemu Allah dalam keadaan suci dan diredai. Al-Baihaqi r.a meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w bermaksud :

Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.

Galakan nikah kahwin meliputi semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang miskin. Islam ingin mengikis rasa takut, tidak mampu memikul tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak kerana Allah menjamin rezaki mereka. Ini diperkukuhkan oleh hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w :

Maksudnya : “Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut kemiskinan maka ia bukanlah daripada golonganku.”

Melalui perkahwinan wujud disiplin rumah tangga melalui pengagihan tugas suami isteri, ibu dan bapa yang membawa kepada disiplin dan kesejahteraan keluarga serta masyarakat. Selain itu, perkahwinan ini juga dapat menyuburkan perasaaan keibubapaan dalam memberi perlindungan, pendidikan, dan kesejahteraan kepada anak-anak.

Seterusnya, melalui perkahwinan seseorang itu dapat menundukkan penglihatan dan memelihara kehormatannya sebaik-baik jalan untuk memelihara maruah kesopanan diri seseorang.

PERKAHWINAN

Dalam masyarakat dunia pelbagai budaya, terdapat berbagai bentuk perkahwinan yang diamalkan. Setengah masyarakat dan budaya hanya membenarkan monogami atau perkahwinan denganseorang wanita sahaja dalam satu masa. Tujuannya tidak lain melainkan supaya perhubungan diantara manusia berlaku tanpa terkeluar dari sistem dan peraturan yang ditentukan oleh pencipta, tidak seperti haiwan lain yang bebas bergaul tanpa sebarang peraturan. Sebaliknya, melalui institusi perkahwinan itu juga syariat islam telah mempertahankan kehormatan dan kemuliaan insane sesuai dengan sifat mereka yang asal iaitu sebagai makhluk terbaik.

Allah berfirman:

Terjemahannya: Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu merupakan satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Al-Quran,al-Isra’17:32

Oleh yang demikian hubungan antara lelaki dan perempuan dalam islam diatur secara terhormat berdasarkan prinsip reda meredai antara satu sama lain dan akad merupakan lambing kepada kesanggupan dan kerelaan untuk menyempurnakan hak serta memikul amanah dan tanggungjawab. Bentuk perkahwinan seumpama ini telah membuka jalan yang harmoni pada naluri manusia, dengan menyelamatkan keturunan serta pemeliharaan kemuliaan dan kehormatan insane khususnya kaum wanita.

PENGERTIAN NIKAH

Nikah berasal daripada perkataaan arab yang membawa makna himpun dan kumpul. Dari sudut istialah nikah membawa maksud suatu akad yang menghalalkan pergaulan dan persetubuhan dengan lafaz nikah(menikahkan) atautazwij (mengahwinkan) diantara lelaki dan perempaun yang tidak mempunyai hubungan mahram samaada dengan sebab nasab (keturunan), penyusunan atau persemendaan. Perkahwinan dinamakan nikah kerana ia menghimpunkan dua orang dalam satu ikatan kekeluargaan iaitu sebagai suami isteri.

HUKUM NIKAH BAGI LELAKI

Perkahwinan adalah suatu yang disyariatkan di dalam syariat islam berdasarkan kepada al-Quran dan Sunnah serta Ijmak umat islam seluruhnya. Hukum asalnya menurut kebanyakkan ulama adalah sunat, namun hukum tersebut boleh menjadi wajib, makruh, haram atau harus mengikut keadaan (maslahah) seseorang.

Terdapat lima hukum nikah atau munakahat menurut ulama antara berikut:

a) Fardu(wajib)

Menurut kebanyakkan ulama, hukum perkahwinan menjadi fardu (wajib) ke atas seseorang apabila diyakini bahawa jika tidak berkahwin orang tersebut akan terjatuh kelembah perzinaan, dalam keadaan lelaki tersebut mampu menyediakan mahar (mas kahwin), nafkah serta hak-hak syariat yang lain, dan dia sendiri tidak mampu mengawal nafsu dengan jalan berpuasa atau sebagainya.

Menurut Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah, apabila seseorang sangat berhajat untuk berkahwin dan takut akan terjerumus kelembah kebinasaan( zina) jika tidak berkahwin, maka perkahwinan bukan sahaja menjadi wajib, malah wajib didahulukan daripada melaksanakan ibadat haji.

Menurut al-Qurtubi, orang bujang yang sudah mampu berkahwin dan dikhuatiri diri dan agamanya akan rosak, sedang tidak ada jalan untuk menyelamatkan diri dari kerosakan tersebut melainkan dengan jalan perkahwinan. Jika nafsu telah mendesak, sedangkan ia tidak mampu member nafkah kepada isterinya, nanti Allah akan melapangkan rezeki baginya. Firman Allah:

Terjemahannya : Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendiri diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin), dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. Hendaklah orang-orang yang tidak mampu berkahwin menjaga diri nya sehingga Allah memampukan mereka dengan kurnianya.

Al-Quran,al-Nuur 24:32-33

b) Haram

Haram perkahwinan seseorang yang yakin akan berlaku zalim atau boleh mendatangkan mudarat kepada wanita apabila dia berkahwin dengan sebab tidak mampu melaksanakan tanggungjawab zahir dan batin, atau dikhuatiri tidak mampu berlaku adil ke atas isteri-isterinya bagi mereka yang mahu berpoligami.

c) Sunat

Sunat apabila keadaan seseorang itu sederhana diantara dua keadaan diantara yang mewajibkan dan mengharamkan dia berkahwin). Dia tidak bimbang akan terjatuh kelembah perzinaan jika tidak berkahwin dan tidak pula dikhuatiri akan berlaku zalim ke atas isteri apabila dia berkahwin.

Rasullulah s.a.w juga telah bersabda:

Terjemahannya: Wahai para pemuda,barang siapa diantara kamu yang mempunyai kemampuan, maka hendaklah ia berkahwin, kerana perkahwinan itu lebih memelihara mata dan melindungi kehormatan. Barang siapa yang tidak mempunyai kemampuan, maka hendaklah ia berpuasa, kerana puasa boleh mengurangkan syahwat.

Diriwatkan oleh Al-Bukhari,Muslim,dan lain-lain.

d) Makruh

Makruh berkahwin bagi seseorang yang tidak mempunyai kemampuan untuk member nafkah kepada isteri sama ada nafkah zahir atau batin. Begitu juga makruh berkahwin kepada seseorang yang tidak berminat untuk berkahwin walaupun mempunyai kemampuan. Firman Allah yang bermaksud:

Terjemahannya: Dan orang-orang yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah menjaga kesucian dirinya, sehingga Allah memampukan mereka dengan kurnia-Nya.

Al-Quran,al-Nuur 24:33

Dr Abdul Karim Zaidan menjelaskan bahawa, hukum nikah menjadi makruh apabila dengan perkahwinan tersebut menyebabkan seseorang itu terhalang daripada melakukan ibadat sunat sedangkan tidak berhajat untuk berkahwin. Namun demikian, jika dia bukan ahli ibadat hendaklah dia berkahwin kerana dibimbangi terjerumus kepada penzinaan. Walau bagaimanapun perkahwinan lebih utama daripada beribadat terus tanpa kahwin, kerana perkahwinan itu sendiri adalah ibadat kepaa Allah s.w.t.

e) Harus

Bagi lelaki yang tidak terdesak oleh alasan-alasan yang mewajibkan untuk segera berkahwin dan tiada pula alasan-alasan yang mengharamkannya untuk maka hukum perkahwinan tersebut adalah harus. Maksudnya adalah kepada seseorang yang yakin tidak akan melakukan zina jika tidak berkahwin serta mampu.

DASAR PEMILIHAN ISTERI

Peranan isteri begitu penting kerana padanya segala urusan tentang rumah tangga diamanahkan. Selain menjadi penyeri dan teman hidup suaminya, isteri harus menjaga kepentingan makan minum keluarga, mengandung, dan mendidik anak-anak, menyimpan rahsia dan menjaga maruah suami dan sebagainya.

Oleh itu, terdapat beberapa dasar pemilihan isteri mengikut syarat. Antaranya :

a) Perempuan yang taat beragama

Sabtu Nabi SAW :

Maksudnya : “Dinikahi perempuan itu kerana hartanya, dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beroleh keuntungan.”

Hadis riwayat al-Bukhari

Oleh itu, utamakanlah pemilihan isteri yang taat beragama seperti suka beribadat, menutup aurat dan lain-lain melebihi dasar-dasar lain seperti harta kekayaan, nasab keturunan dan rupa paras yang menawan.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menyifatkan wanita yang maksudnya :

Dunia ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.

b) Berketurunan yang baik dan dibesarkan dalam persekitaran yang sempurna akhlaknya

Islam menggalakkan supaya memilih bakal isteri daripada nasab keturunan yang baik-baik dan dibesarkan dalam suasana kekeluargaan dan masyarakat yang berhemah tinggi dan berbudi pekerti mulia serta mengamalkan nilai hidup yang diredai Allah SWT. Ini penting untuk membentuk suasana yang harmoni, saling kasih-mengasihani dan hormat-menghormati antara suami dan isteri. Saling memahami antara satu sama lain juga akan mengeratkan hubungan dengan lebih erat dan mesra.

c) Perempuan yang subur dan melahirkan ramai anak.

Nabi Muhammad SAW akan berbangga dengan ramainya umat Islam pada hari kiamat nanti terutamanya umat yang beriman dan bertakwa. Justeru itu, amat tepat kiranya dapat dipilih wanita yang subur dan mampu melahirkan anak yang ramai. Wanita ini dapat dikenali dengan melihat ramainya anak-anak saudara perempuan dan juga saudara-mara perempuannya yang terdekat.

d) Sekufu atau hampir sekufu

Antara faktor lain yang membawa kepada kebahagiaan rumah tangga ialah faktor ekonomi, pelajaran dan dari segi umur. Maksudnya janganlah bakal si suami itu terlalu jauh jarak umurnya dengan bakal isteri. Seelok-eloknya ialah 10 tahun lelaki lebih tua daripada perempuan.

Namun, apabila si lelaki mempunyai latar belakang pelajaran yang lebih tinggi dan juga taraf ekonomi yang lebih baik, maka ini boleh menjamin rasa hormat si isteri pada suaminya.

e) Masih gadis atau anak dara

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam memilih isteri daripada kalangan gadis, bukan janda, sesuai dengan nasihat Baginda SAW kepada seorang sahabat, Jabir r.a. Kemesraan yang akan lahir lebih menggembirakan kedua-dua belah pihak.

f) Pasangan bukan daripada keluarga terdekat

Tidak begitu digalakkan berkahwin dengan pasangan daripada kalangan kaum kerabat yang hamper seperti sepupu. Antara sebabnya ialah mengurangkan keinginan syahwat yang boleh menjejaskan keharmonian perkahwinan dan dibimbangi mendapat anak yang cacat dan kurang bijak.

DASAR PEMILIHAN SUAMI

a) Kuat agama dan berakhlak mulia

Lelaki soleh ialah bakal ketua keluarga yang mampu mentadbir isteri, anak-anak dan rumah tangga dengan baik dan bertanggungjawab. Itulah asas penerimaan seorang lelaki sebagai menantu oleh keluarga pihak perempuan.

Menerusi hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

Maksudnya : “Apabila dating kepadamu seorang (lelaki) yang kamu redai agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah anakmu itu. Jika tidak berbuat demikian, nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.”

Hadis riwayat al-Tirmizi

b) Bukan keluarga terdekat

Tidak digalakkan bakal suami daripada kalangan keluarga terdekat.

c) Bebas daripada penyakit berat

Seorang lelaki mestilah bebas daripada penyakit-penyakit yang menghalangnya daripada berkahwin seperti gila, kusta, dan lemah syahwat.

PERTUNANGAN

Setelah mengambil kira dasar-dasar pemilihan steri dan suami, maka pihak lelaki bolehlah mengutus wakil untuk melamar dan meminang calon isteri. (Mestilah bukan isteri orang, tunang orang atau perempuan dalam idah).

Sebelum menerima lamaran tersebut, ibu dan bapa harus mendapatkan persetujuan anak perempuannya terlebih dahulu. Ini perlu dilakukan untuk memberikan peluang kepada si anak meluahkan isi hatinya uang ikhlas agar perkahwinan yang bakal dilangsungkan nanti akan menambah kerukunan dan kebahagiaan hingga ke anak cucu, bukan atas dasar paksaan ibu bapa semata-mata.

Adalah tidak wajar jika paksaan dilakukan oleh wali (penjaga) terhadap anak perempuannya untuk menerima lamaran seseorang yang semata-mata disukai atas dasar kemewahan, bukan atas dasar ketaatan beragama.

Setelah selesai acara peminangan, kebiasannya dengan tersarungnya cincin pertunangan di jari manis orang yang dipinang, persetujuan dicapai oleh kedua-dua belah pihak untuk melangsungkan perkahwinan pada suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Tempoh sebelum diijabkabulkan ini dinamakan waktu pertunangan.

Inilah tempoh cubaan yang paling mencabar kepada bakal paasangan suami isteri ini. Islam mengharamkan mereka berdua-duaan ke sana ke mari kerana pertunangan bukanlah “tiket” untuk melakukan perkara-perkara yang dihalalkan dalam perhubungan suami isteri. Sesuai dengan hadis Rasulullah SAW :

Maksudnya : “Tidak dibolehkan lelaki berdua-duaan dengan perempuan melainkan ada bersama-sama mahramnya (bapa atau keluarganya yang diharamkan berkahwin dengannya).

Hadis riwayat al-Bukhari

RUKUN NIKAH

Rukun nikah terdiri dari lima rukun yang mana tidak sah nikah tersebut melainkan dengan memenuhi rukun-rukun tersebut:

1) Calon suami

Calon suami disyariatkan dengan beberapa syarat bagi memastikan sah perkahwinan seperti berikut iaitu pertama adalah calon suami adalah seorang lelaki yang tertentu iaitu kepada seorang sahaja. Keduanya seorang yang beragama islam. Haram ke atas wanita islam berkahwin dengan lelaki kafir. Ketiga adalah tidak mempunyai hubungan mahram dengan calon isteri. Seterusnya yang keempat pula adalah tidak mempunyai isteri yang ada hubungan mahram dengan calon isteri sebagai madu. Manakala yang kelima adalah lelaki tersebut belum lagi mempunyai empat orang isteri kecuali salah seorang dari mereka telah diceraikan.

2) Calon isteri

Calon isteri disyariatkan dengan beberapa syarat iaitu yang pertama adalah calon isteri adalah seorang wanita yang tertentu seperti bukan lelaki (khunsa), bukan dari kalangan wanita wathaniah (penyembah berhala), mahram dan bukan keturunan jin.

Firman Allah dalam surah al-Ruum, ayat 21 yang bermaksud, “ Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya...,”

Al-Quran,al-Nisa’ 4:23

Dan firman Allah dalam surah al-Nisa’,ayat 3 yang bermaksud: “...dan kahwinilah wanitayang kamu senangi...”

Al-Quran,al-Baqarah 2:221

Kedua pula adalah calon isteri hendaklah telah habis idah (jika dia janda) pada waktu akad. Seterusnya ketiga adalah calon isteri bukan orang yang haram dihimpunkan kerana hubungan kerabat sama ada kerana keturunan mahupun susuan seperti saudara seibu sebapa atau seibu atau sebapa sahaja. Manakala yang keempat pula mestilah calon isteri seorang Muslimah. Tidak sah kahwin dengan perempuan kafir atau bukan islam.

3) Wali

Wali ialah orang yang diberikan kuasa untuk mengahwinkan perempuan. Tidak sah melainkan dengan wali. Sabda Rasulullah s.a.w :

Terjemahannya: Tidak sah nikah melainkan dengan berwali.

Diriwayat Abu Daud dan Al-Tirmidzi

Orang-orang yang berhak menjadi wali :

  1. Bapa
  2. Datuk
  3. Saudara lelaki yang seibu sebapa
  4. Saudara lelaki yang sebapa
  5. Anak lelaki dari saudara lelaki yang seibu sebapa
  6. Anak lelaki saudara lelaki yang sebapa
  7. Bapa saudara dari pihak bapa (saudara lelaki kepada bapa)
  8. Anak lelaki kepada bapa saudara dari pihak bapa.
  9. Hakim

Syarat-syarat Wali:

Wali yang menikahkan seorang perempuan hendaklah memenuhi syarat berikut iaitu pertama adalah sempurna keahlian : baligh, berakal, dan merdeka. Manakala kanak-kanak, orang gila, bodoh, mabuk, dan hamba tidak sah jadi wali.

Kedua adalah persamaan agama antara wali dengan orang yang diwalikan. Firman allah:

Terjemahannya: Tidak harus seseorang mukmin mengambil orang kafir sebagai wali.”

Al-Quran,ali Imran 3:28

Ketiga pula adalah lelaki. Perempuan tidak sah menjadi wali di sisi jumhur ulama kerana tidak mempunyai kuasa perwalian ke atas dieri sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Terjemahannya : Perempuan tidak boleh mengahwinkan perempuan, dan tidak pula boleh mengahwinkan dirinya sendiri.

Diriwayatkan oleh Al-Daruqutni dan Ibn Majah.

Seterusnya keempat pula ialah adil. Iaitu sempurna agama denagan menunaikan kewajipan agama dan menahan diri dari melakukan dosa-dosa besar dan tidak berkekalan dalam melakukan dosa-dosa kecil. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:

Terjemahannya : Tidak sah perkahwinan melainkan dengan ada dua orang saksi yang adil dan wali yang boleh memberi bimbingan.

Diriwayatkan oleh Ahmad

Bahagian Wali

Secara umum wali terbahagi kepada dua bahagian iaitu :

  1. Wali nasab, iaitu orang yang berhak melakukan akad perkahwinan dari calon isteri berdasarkan hubungan darah (keturunan).
  2. Wali hakim, iaitu seorang yang kerana kedudukannya (seperti sultan atau orang yang diwakilkan) berhak melakukan akad perkahwinan kerana ketiadaaan wali nasab atau apabila wali enggan menikahkan perempuan tersebut tanpa alasan.

Wali nasab dapat dibahagikan pula kepada dua bahagian:

  1. Wali akrab, iaitu wali paling dekat hubungan darahnya dengan calon pengantin perempuan tersebut.
  2. Wali ab’ad, iaitu wali yang sudah jauh pertalian darahnya dengan calon pengantin perempuan tersebut.

Wali akrab pula terbahagi kepada dua bahagian:

  1. Wali mujbir.
  2. Wali pilihan (tak mujbir).

Wali mujbir ialah wali yang terdiri dari bapa atau datuk (jika ketiadaan bapa) yang berhak mengahwinkan anak gadisnya tanpa persetujuan atau keizinan daripada gadis tersebut dengan syarat-syarat tertentu. Adalah sunat bagi wali mujbir meminta izin untuk mengahwinkannya.

Sabda Rasulullah s.a.w:

Terjemahannya : Janda lebih berhak dengan dirinya berbanding walinya, manakala gadis (belum pernah berkahwin) dikahwinkan oleh walinya.

Diriwayatkan oleh Al-Daruquthni

Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w:

Terjemahannya : Wali tidak ada hak ke atas perempuan yang janda.

Diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi.

4) Dua orang saksi

Menurut Iman Abu Hanifah, Al-Shafi’e dan Malik, bahawa saksi merupakan syarat sahnya sesuatu perkahwinan. Pendapat ini adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. :

Terjemahannya: Tidak sah nikah melainkan dengan berwali dan dua orang saksi yang adil.

Diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Baihaqi

Syarat-syarat saksi.

Saksi-saksi tersebut pula mesti memenuhi syarat-syarat seperti berikut iaitu, pertama mestilah merdeka, bukan hamba sahaya. Keduanya pula mestilah lelaki, golongan Syafie dan Hambali mensyaratkan kedua-dua orang saksi tersebut hendaklah lelaki. Namun menurut mazhab Hanafi saksi boleh terdiri dari seorang lelaki dan dua orang perempuan.

Manakala yang ketiga mesti adil dalam pengertian agama kerana kesaksian orang fasiq tidak diterima. Ini adalah pendapat mazhab Al-Syafi’e yang bersandarkan kepada hadith sebelum ini iaitu ; “Tidak sah nikah tanpa wali dan dua orang saksi yang adil.” Malahan Iman Baghawi menyatakan bahawa nikah menjadi tidak sah jika disaksikan oleh orang yang tidak diketahui secara zahir ‘adalahnya (keadilannya). Dan Iman Al-Nawawi berpendapat bahawa pandangan tersebut adalah benar.

Keempat pula adalah Islam menurut Ahmad,Syafi’e dan Muhammad bin Al-Hasan, tidak sah perkahwinan melainkan saksi tersebut beragama islam. Syarat saksi yang kelima mestilah mukallaf, Iaitu baligh dan berakal. Seterusnya keenam pula mesti tidak cacat pendengaran (pekak) atau penglihatan (buta). Terakhir sekali, keenam adalah bukannya orang yang ditentukan untuk menjadi wali. Seperti bapa atau saudara lelaki kepada calon perempuan yang mewakilkan ijab pernikahan kepada orang lain, sedangkan dia sendiri hadir sama untuk menjadi wali pernikahan tersebut maka tidak sah.

5) Ijab dan Qabul.

Akad nikah merupakan rukun utama dalam perkahwinan, kerana ianya menandakan kerelaan pihak lelaki dan perempuan untuk mengiakt diri dalam kehidupan berkeluarga. Oleh kerana perasaan rela dan reda itu merupakan persoalan kewajipan yang tidak dapat dilihat melalui indera penglihatan, maka ijab dan kabul merupakan symbol perlambangan yang tegas untuk menyatakan kemahuan tersebut.

Ijab adalah ucapan daripada pihak wanita iaitu wali kepada calon isteri yang menyatakan bahawa ia bersetuju mengahwinkan atau menikahkan anaknya atau perempuan yang diwalikan (seperti saudara dan lain-lain) dengan lafaz nikah atau tazwij atau terjemahannya seperti kata “zawwajtuka wa ankahtuka...” saya kahwinkan dan saya nikahkan engkau... Manakala kabul pula merupakan lafaz persetujuan dan penerimaan dari pihak calon suami seperti kata “saya mengahwininya,saya menikahinya, saya terima atau saya setuju...” dan sebagainya.

Dalam hal ijab, tidak sah lafaz ijab melainkan dengan lafaz zawwajtuka atau ankahtuka atau terjemahannya. Dari segi penggunaan bahasa, para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa akad boleh dilakukan dalam bahasa apa sekalipun asalkan ianya boleh difahami oleh semua pihak yang terlibat di dalam majlis akad tersebut.

PERKARA YANG MENGHARAMKAN NIKAH

Mahram ialah anggota keluarga (kerabat) yang haram dikahwini. Sebab-sebab mahram terbahagi kepada tiga iaitu:

  1. Dengan sebab keturunan iaitu: ibu dan nenek sampai ke atas, anak dan cucu serta seterusnya sampai ke bawah, saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu,, saudara kepada bapa, saudara perempuan kepada ibu, anak perempuan kepada saudara lelaki dan seterusnya, anak perempuan kepada saudara perempuan dan seterusnya.
  2. Denagan sebab susuan: iaitu ibu dan bapa susuan, saudara perempuan sepersususan.
  3. Dengan sebab perkahwinan: iaitu ibu kepada isteri (mertua), anak tiri iaitu apabila sudah bercampur dengan ibunya, isteri kepada anak (menantu), dan isteri bapa (ibu tiri).

TANGGUNGJAWAB SUAMI

Terdapat banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh suami antaranya memberi sara hidup kepada isteri seperti pemberian makanan dan tempat tinggal. Suami juga haruslah memberi nafkah batin termasuk menggauli isteri dengan baik. Selain itu, perlu juga menyara anak-anak dan melindungi isteri dan anak-anak dari segi keselamatan dan kesihatan. Seterusnya sebagai ketua keluarga harus memainkan peranan penting iaitu melindungi maruah keluarga dan harta benda serta sentiasa membimbing isteri, anak-anak dengan ajaran islam menuju keredaan Allah.

Suami juga harus bertanggungjawab mendidik akhlak anak-anak dan memastikan mereka mendapat pendidikan Islam yang sempurna. Menjadi penasihat dalam menyelesaikan masalah isteri, anak-anak dan jiran tetangga adalah sesuatu perkara penting bagi suami.oleh itu, Suami hendaklah sentiasa mengamalkan pergaulan yang baik dengan isteri, anak-anak dan orang lain dan juga mestilah mempunyai sifat bertolak-ansur, pengasih, penyabar, pemaaf dan bertimbang rasa.

Di dalam al-Quran bapa disebut sebagai al-mawludu lahu, iaitu orang yang mana anak tersebut dilahirkan untuknya atau bagimnya seperti dalam firman Allah :

Terjemahannya: Dan kewajipan bapa (al-maulud lahu) memberi makan dan pakaian kepada mereka (para ibu) dengan cara yang makruf.

(Al-Quran, al-Baqarah 2:233)

TANGGUNGJAWAB ISTERI

Segala peranan harus dititikberatkan oleh isteri dengan menjaga kehormatan diri terutama apabila suami tiada di rumah. Misalnya tidak membenarkan lelaki yang bukan mahram atau yang dibenci suami masuk ke rumah agar tidak berlaku sebarang fitnah.

Selain itu, isteri harus patuh terhadap suruhan suami (selagi bukan yang maksiat) dan sentiasa suka melayan suami dari segi lahir dan batin. Jikalau isteri membantah ini boleh menyebabkan si isteri itu derhaka kepada suami. Isteri juga mestilah menumpukan sepenuh kasih sayang kepada suami dan anak-anak dan menjaga amanah serta harta suami. Seterusnya isteri mesti sentiasa menyimpan rahsia pergaulan suami isteri.

Isteri perlulah meminta izin dari suami sebelum keluar dari rumah (kecuali darurat) dan yang paling utamanya adalah berhias diri hanya untuk tatapan suami sahaja, tidak untuk orang lain khususnya apabila di luar kawasan rumah. Ketika berada di khalayak ramai, si isteri harus pandai menjaga kesopanan dan sentiasa menutup aurat.

MAHAR

Mahar ialah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya. Ia juga disebut sebagai mas kahwin. Hukumnya adalah wajib berdasarkan surah an-Nisa: ayat 4.

" Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. "

(Surah An-Nisaa’: 4)

Jumlah mahar yang wajib dibayar akan ditentukan oleh walinya jika perempuan itu masih kecil, tetapi sudah baligh atau janda boleh ditentukan oleh perempuan itu sendiri. Mahar boleh dibayar dengan pelbagai cara yang mempunyai nilai atau faedah tertentu berdasarkan persetujuan bersama seperti rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya. Malah ia boleh dibayar secara tunai, bertangguh atau berhutang. Jika mahar berhutang, suami wajib membayarnya setelah melakukan persetubuhan atau persetubuhan secara syubhah atau salah seorang mati. Jika suaminya mati, waris suami wajib membayarnya kepada ahli waris isterinya. Jika diceraikan sebelum bersetubuh, hutang mahar wajib dibayar separuh daripada nilainya kepada bekas isterinya, jika sudah dibayar tetapi belum bersetubuh, maka isteri wajib memulangkan separuh daripadanya. Jika isteri meminta fasakh, mereka belum bersetubuh, dan mahar masih berhutang, suaminya tidak wajib membayarnya. Jika sudah dibayar, bekas isteri wajib memulangkan kesemua jumlah mahar tersebut.

jenis mahar

Mahar misil : Iaitu Mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan maskahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya disamping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

Mahar muthamma : Iaitu mas kahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

FALSAFAH PERKAHWINAN

Tujuan perkahwinan

Tujuan islam menggalakkan perkahwinan dan menyusun undang-undang mengenai perkahwinan dan kekeluargaan adalah supaya perasaan dan naluri manusia dapat dipenuhi di samping pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dapat dihindari. Sebaliknya melalui perkahwinan tersebut akan lahir peribadi-peribadi yang baik dan sekaligus terbentuk pula keluarga-keluarga yang baik. Dan dari keluarga yang baik tersebut akan muncul sebuah masyarakat dan ummah yang berdisiplin, berakhlak dan bertamadun.

Sabda Rasulullah SAW :

Terjemahannya: Nikah adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku maka dia bukan dari golongan aku.

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Al-Tirmidzi

Matlamat perkahwinan

Diantara matlamat Islam mensyariatkan perkahwinan ialah :

  1. Penerusan keturunan manusia yang menjadi jalan membiakkan zuriat melalui perkahwinan.
  2. Kestabilan hubungan kerohanian, kebaikan dan kasih sayang
  3. Jaminan sosial dan ekonomi
  4. Keazaman untuk berusaha dengan meningkatkan taraf hidup keluarga dari segi ekonomi mahupu sosial di kalangan kaum lelaki.

Hikmat perkahwinan

Islam sebagai agama yang syumul dan bercirikan insaniah iaitu agama samawi yang menjamin keperluan manusai seluruhnya, telah mensyariatkan perkahwinan sebagai salah satu dari jalan-jalan untuk memenuhi keperluan dan kesejahteraan hidup manusia. Antara hikmat perkahwinan tersebu iaitu :
  1. Menundukkan syahwat
  2. Meramaikan zuriat
  3. Menenangkan jiwa
  4. Menjalin hubungan kerjasama
  5. Menyelamatkan masyarakat dari perbuatan tidak bermoral
  6. Menyelamatkan masyarakat dari penyakit kelamin.

KESIMPULAN

Kebahagiaan yang dikecapi oleh manusia yang terbit dari hati nurani tidak dapat diluahkan jika dia hidup bersendirian tetapi harus dikongsi bersama pasangan masing-masing yang hak mengikut lunas-lunas peraturran tertentu.

Justeru itulah, Allah menjadikan makhluk-makhluk-Nya khususnya insan ini, fitrahnya suka kepada ketenangan atau sakinah dengan kehidupan beristeri dan seterusnya berkeluarga. Hidup berkeluarga ini pada dasarnya, lebih berkat, tenteram dan teratur berbanding hidup berseorangan, membujang atau menyendiri.

Hubungan suci seseorang lelaki dan perempuan yang mukallaf melalui ikatan perkahwinan ini menggambarkan corak kehidupan sempurna yang diredai Allah s.w.t dan dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Rumah tangga yang dibina merupakan alam pertama yang boleh menentukan sejahtera atau tidaknya sesebuah masyarakat yang diwakili oleh individu-individu yang menyokongnya.

Seandainya suasana sesebuah rumah tangga itu aman bahagia dan kasih mengasihi antara satu sama dengan yang lain akan tenteram dan sejahtera pula masyarakat, begitulah pula sebaliknya.

Firman Allah s.w.t :

Maksudnya: Dan antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan berasa tenang dan tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu perasaan kasih dan sayang.

(Surah al-Rum:21)

SEKIAN…

WAALLAHUA’LAM…

1 comment: