Point2sop

Followers

Sunday, April 3, 2011

Ikhlas dalam kehidupan seharian 2

CABARAN DAN RINTANGAN

Adalah sebuah realiti yang tidak boleh dinafikan bahawa untuk menjalani hidup ikhlas dan mewajahkan kehidupan murni kerana Allah SWT, bukanlah perkara mudah. Sebab itu terdapat gejolak nafsu dalam diri manusia yang sentiasa mengeruhkan niat hati untuk fokus kepada Allah SWT semata-mata.

Oleh itu, setiap muslim harus jernih menghayati perilaku dirinya, harus teguh menjaga hatinya dan tulus menjalani kehidupan agar amal perbuatan tidak sia-sia. Sebab hanya amaliah (perbuatan) yang tulus ikhlas yang diterima oleh Allah SWT, iaitu amal perbuatan berasaskan niat yang tulus serta diiringi penyerahan yang utuh kepada Allah SWT.

Riak

Riak adalah perbuatan yang disengajakan dengan tujuan untuk memperlihatkan perbuatannya supaya mendapat kepujian dari orang lain. Ia bukan bertujuan untuk mendapat keredaan Allah SWT. Dalam sebuah hadis dinyatakan Rasulullah S.A.W. bersabda, “Allah tidak menerima amal, kecuali yang dikerjakan dengan ikhlas kerana Dia semata, dan dimaksudkan untuk mencari redaNya.” (HR. Ibnu Majah) Abu Firas (seorang lelaki dari Aslam) meriwayatkan, “Seseorang lelaki berseru sambil bertanya, “Wahai utusan Allah, apa itu iman?” Rasulullah S.A.W. menjawab, “Ikhlas”. (HR. Thabrani )

Riak merupakan cabaran utama yang menghalang keikhlasan. Sebab. Ketulusan seseorang banyak bercampur dengan keinginan jiwanya, misalnya orang yang mengajar kerana ingin merasakan nikmat dengan keindahan kata-kata. Bagi orang-orang yang dadanya kosong dari keimanan dan kering ketulusan,batas sempadan antara keikhlasan dan riak ini sangalah samar. Para alim menjelaskan ada banyak ragam bentuk riak yang terdiri pada diri manusia, antaranya ialah :

1. Riak harta. Dengan memperlihatkan kemewahan material yang dimiliki kepada orang lain, seolah-olah dirinya paling berharga, paling hebat dan tiada orang lain yang mampu menandingi harta kekayaan yang dimilikinya.

2. Riak kekuasaan. Dengan bersikap sombong, merasa diri paling benar kerana merasakan diri paling berkuasa. Dia merasakan semua tindakan benar, ucapan dan keputusannya, meskipun jelas merugikan orang lain.

3. Riak raga (tubuh). Dengan memperlihatkan angota fizikal. Contohnya, badan yang kurus dan pucat-pucat agar orang lain melihat bahawa dia seperti rajin beribadat

4. Riak perhiasan. Dengan membuat bekas sujud pada muka atau memakai hiasan khusus. Yang sebahagian orang menganggap bahawa dia adalah seorang ulama.

5. Riak ucapan. Dengan berceramah agama (padahal tidak mengerti agama dan tidak mempraktikan apa yang dicakap dalam ceramahnya) atau menghafal suatu riwatyat ketika berbicara, menampakkan keluasan ilmu, menggerakkan dua bibir dengan berzikir di hadapan orang lain dan sebagainya.

6. Riak perbuatan. Mengerjakan solat dengan berdiri lama, rukuk dan sujid serta menampakkan kekhusyukan. Riak dengan berpuasa, berperang, dan juga lain-lain.

7. Riak kawan. Riak dengan ramai teman dan orang-orang yang mengunjungi seperti orang yang berusaha untuk mengundang para ulama atau ahli ibadah ke rumahnya agar dikatakan kepadanya, “bahawa ahli agama selalu datang dan pergi kepadanya.”

Al – Quran Mengecam Perbuatan Riak

Riak merupakan sebahagian dari kemaksiatan hati. Bahkan, riak dengan maksiat hati yang sangat membahayakan jiwa dan amal perbuatan setiap insan. Oleh sebab itu, Allah memberi peringatan keras kepada mereka yang melakukan kemaksiatan riak.

Firman Allah yang bermaksud menjelaskan: “Dan orang-orang yang menafkankan harta mereka-harta mereka kerana riak kepada manusia, dan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian, barangsiapa yang menjadi syaitan sebagai teman, maka syaitan itu adalah teman yang paling buruk.” ( An-Nisaa’ : 38)

Hadis – Hadis Rasulullah Berkenaan Bahaya Riak

Ada banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menceritakan khabar buruk bagi para pelaku riak. Antara hadis-hadis Rasulullah s.a.w. itu ialah :

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda, “Orang pertama yang akan diadili di hadapan Allah SWT pada hari kiamat adalah orang yang meninggal dunia dalam kesyahidan. Maka didatangi orang itu dalam pembicaraan, ditunjukkan kepadanya nikmat Allah SWT yang telah diberikan kepadanya, dan orang itu mengakuinya. Allah SWT bertanya kepadanya : “Apa yang telah engkau lakukan dalam pertempuran itu?” Orang itu menjawab: “Aku telah bertempur di jalan-Mu, hingga aku syahid.” Allah SWT berkata : “Engkau bohong! Engkau berperang dengan niat agar engkau dikatakan, “Dia berani.” Dia mengakui perbuatannya, kemudian Allah SWT memerintahkan malaikat menyeret orang itu keluar dari hadapaNya, serta melemparkannya ke dalam api neraka.”

Kemudian orang yang belajar ilmu dan mengamalkannya, serta pembaca Al – Quran. Maka didatangi orang itu dalam perbicaraan, ditunjukkan kepada nikmat Allah SWT yang telah diberikan kepadanya dan orang itu mengakuinya. Allah bertanya kepadanya: “Apa yang telah engkau lakukan dengan ilmu dan Al – Quranmu?” Orang itu menjawab: “ Aku telah berlaja ilmu dan mengamalkan, serta mengajarkannya, aku juga membaca Al – Quran semata-mata keranaMu.” Allah berkata: “Engkau bohong! Engkau membaca Al – Quran agar digelar sebagai Qari.” Dia mengaku perbuatannya, , kemudian Allah SWT memerintahkan malaikat menyeret orang itu keluar dari hadapaNya, serta melemparkannya ke dalam api neraka.”

Selanjutnya orang yang diluaskan rezikinya dan menafkahkan (menyedekahkan) harta yang dimilikinya, maka didatangi orang itu dalam perbicaraan, ditunjukkan kepada nikmat Allah SWT yang telah diberikan kepadanya dan orang itu mengakuinya. Allah bertanya kepadanya: “Apa yang telah engkau lakukan dengan harta kekayaanmu itu?” Orang itu menjawab: “Aku belanjakan semua hartaku dijalanMu. Tidak ada sedekah dan infak yang aku keluarkan kecuali keranaMu. Allah berkata: “Engkau bohong! Engkau bersedekah dan mengeluarkan infak dengan niat agar engkau dikatakan “Dia baik dan dermawan.” .” Dia mengaku perbuatannya, , kemudian Allah SWT memerintahkan malaikat menyeret orang itu keluar dari hadapaNya, serta melemparkannya ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat. Muslim, Nasai, Tirmizi dan Ibnu Majah)

HIDUP MESTI IKHLAS

Sesungguhnya Allah SWT tidak mencipta segenap makhluk dengan sia-sia. Firman Allah menegaskan bahwa fitrah (dasar penciptaan) manusia di alam realiti ini adalah untuk beribadat. Ibadah mahupun ubudiyah seseorang tidak akan meniliki erti di hadapan Allah SWT apabila tidak dilakukan dengan ikhlas.

“Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (melaksanakan) agama. Dan aku diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama berserah diri.” ( Az-Zumar : 11-12)

Memurnikan ketaatan kepada Allah SWT ialah menjernihkan hati dari kepentingan duniawi ketika sembah sujud kepada-Nya dengan tidak berharap dari amal ibadah selain reda Allah SWT. inilah yang disebut sikap beragama yang tulus. “Mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.” (Al-Bayyinah : 5) Niatkan Hidup Dengan Ikhlas

Niatkan hidup ini dengan penuh keikhlasan dan jangan jadikan ikhlas itu hanya slogan hidup tanpa perbuatan nyata. Niatkan hidup ini dengan ikhlas dan kerjakan keikhlasan itu dalam setiap gerak kerja seharian. Firman-firman Allah SWT yang bermaksud menjelaskan,

“Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat amalmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” ( At-Taubah : 105)

Niatkan hidup kita dengan ikhlas kerana kehidupan berasas keikhlasan bakal melahirkan kasih pengawalan Allah. Orang yang ikhlas akan dijaga Allah dari segala sesuatu yang diharam olehNya, sama ada ketika sedang bersama manusia atau bersendirian. Ikhlas tidak cukup hanya dijadikan ‘pedoman Mati’ iaitu sekadar retotarik mahupun slogan. Tetapi, ikhlas harus dijadikan sebagai ‘Pedoman Hidup’ yang diiringi dengan tindakan nyata.

Hayatilah bait syair penuh motivasi yang dinyatakan an-Niffari berikut ini.

Ilmu adalah huruf

yang tidak terungkap kecuali dengan perbuatan.

Dan perbuatan adalah huruf

Yang tidak terungkap kecuali keikhlasan.

Dan keikhlasan adalah huruf

Yang tidak terungkap kecuali kesabaran.

Dan kesabaran pun adalah hurud

Yang tidak terungkap kecuali oleh penyerahan yang utuh demi menggapai reda-Nya.

Oleh itu sebelum menerapkan hidup ikhlas, hendaknya kita merisik kalbu, agar mengetahui ketetapan hati kita dalam meniatkan hidup keikhlasan. Ia bertujuan agar keikhlasan tidak dikotori oleh kepentingan-kepentingan pragmatism duniawi atau jerat-jerat tipu daya syaitan. Sebaliknya, bila kita mampu melakari hidup dengan keikhlasan yang murni, kita bakal beroleh redaNya.

Orang yang Ikhlas adalah Pahlawan Agama

Insan-insan yang ikhlas, tidak mengharapkan apa-apa daripada amalan mereka, kecuali penerimaan dan keredaan Allah SWT. Hati mereka jernih dari segala bentuk kepentingan pragmatism diri. Mereka itulah sebenarnya para pahlawan agama, penyiar risalah syariat ajaran Islam dan pewaris para nabi. Mereka itulah manusia yang disebut Rasululllah, “Banyak orang yang berambut tidak teratur, berbaju renyuk dan pengemis, sering diusir jika mengetuk pintu (orang). Namun jika mereka melafazkan sumpah, nescaya Allah akan mengabulkan sumpahnya.” ( hadis riwayat Muslim )

Hayatilah sabda Rasulullah s.a.w. tersebut. Kemenangan hanya mampu diraih dengan solat dan doa yang tulus ikhlas. Doa dan solat yang tidak diiringi hidup ikhlas, tidak akan melahirkan kemenangan. Oleh itu, dalam berjuang keikhlasan adalah mutlak.

Orang-orang yang ikhlas sebenarnya pengamal tauhid utama. Mereka inilah tauhid di bumi Allah SWT ini. Bukankah Rasulullah s.a.w. berkata bahawa makna amal ikhlas merupakan kesempurnaan keimanan? Puncak keimanan seseorang adalah kesempurnaan ketauhidan kepada Allah SWT secara utuh dan murni? Maka seseorang yang menjalani hidup ikhlas adalah juga orang yang menerapkan nilai-nilai ketauhidan. Seseorang yang menterjemahkan nilai-nilai tauhid dalam kehidupan nyata, mereka itulah sebenarnya penyiar agama dalam erti sesungguhnya. Ia tidak akan terzahir kecuali pada diri manusia-manusia yang ikhlas.

HAKIKAT KEIKHLASAN

Diriwayatkan pula bahawa Rasulullah s.a.w., suatu ketika ditanya para sahabat baginda: “ Wahai Rasulullah apakah sebenarnya ikhlas itu?” Rasulullah menjawab, “Aku telah bertanya kepada Jibril, perihal apa sebenarnya ikhlas?” Jibril berkata kepadaku, “Akupun telah bertanya kepada Allah SWT tentang hakikat ikhlas. Allah berfirman: “Ikhlas adalah salah satu rahsia daripada rahsia diri-Ku, yang Aku letakkan di hati insan yang Aku cintai antara para hamba-Ku.”

Tanda – tanda keikhlasan itu ada tiga:

1) Menyamakan pujian dan cacian yang dilontarkan orang kebanyakan.

2) Melupakan melihat amal perbuatan dalam berbuat suatu perbuatan.

3) Melupakan perolehan pahala akhirat, dari perbuatan yang ditunaikan.

Unsur Dasar Pembentukan Keikhlasan Hakiki

Berdasarkan huraian pelbagai fikrah (gagasan pemikiran) para ahli ketuhanan tersebut dapat diketahui unsur dasar pembentukan keikhlasan hakiki. Antara unsur dan elemen penting dalam pembentukan keikhlasan dalam erti yang sesungguhnya itu adalah:

1. Hanya fokus kepada Allah SWT. orang yang ingin meraih keikhlasan hakiki harus menfokuskan perhatian hanya tertuju kepada al-Khaliq(pencipta), bukan pada perhatian manusia, sebab perhatian segenap manusia tidak bererti sama sekali di mata Allah SWT.

2. Sering perilaku zahir dengan batin. Orang yang ingin meraih keikhlasan hakiki harus menyelarakan antara perilaku zahir dan gerak batinnya, sama ada dalam situasi khalayak ramai atau bersendirian.

3. Jangan sampai penampilan lahiriahnya dipenuhi dengan kealiman simbolik, sedangkan batinnya hancur. Jangan sampai penampilan zahirnya seperti madu, sedangkan perilaku batinnya seperti hempedu.

4) Menganggap sama pujian dan caci maki. Orang yang ingin menggapai keikhlasan hakiki, hendaknya menganggap sama antara pujian dan cacian yang dilontarkan orang kebanyakan.

5) Tidak melihat keikhlasan diri. Orang yang ingin menggapai keikhlasan hakiki, hendaknya tidak melihat keikhlasan dirinya lalu membanggakan diri dengan keikhlasan yang telah diperbuatnya, kerana rasa bangga tersebut akan menghancurkan keikhlasan.

6) Melupakan timbalan akhirat. Hendaklah melupakan (tidak berfikir dan berharap) balasan pahala akhirat dari perbuatannya. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al - Quran bermaksud :

“Sesungguhnya Allah hanya menerima keikhlasan dari orang-orang yang bertaqwa.” ( Al-Maidah : 27)

7) Hidup berwaspada. Hendaklah sentiasa hidup berwaspada dengan selalu merasa takut kepada Allah SWT. takut amalannya bercampur rasa riak dan nafsu, sebab tipu daya syaitan sangat halus dan tidak pernah putus asa mengganggu para insan beriman.

Dengan meneliti unsur-unsur dasar keikhlasan hakiki tersebut, dapat dibuat kesimpulan bahawa hidup dengan ikhlas dan menerapkan keikhlasan itu benar-benar sukar. Sebab itulah golongan mukhis dalam erti yang sebenar sangatlah sedikit.

TANDA TANDA KEIKHLASAN

Keikhlasan adalah amaliah qalbiyah yang hakikat sesungguhnya hanya Allah SWT mengetahui. Sebab hanya Yang Maha Melihat yang mengetahui apa yang tersimpan di hati dan di sebalik dada setiap para hambaNya. Manusia hanya mampu melihat sesuatu yang bersifat zahir. Sesuatu yang tidak zahir, tidak mampu dijangkau penglihatan manusia.

Berkaitan ikhlas ini, meskipun manusia tidak mampu mengukur dalam hati manusia, namun ada tanda-tanda yang yang boleh dijadikan pengukur untuk memahami adakah seseorang itu ikhlas mahupun tidak. Antara tanda-tanda keikhlasan itu adalah :

* Takut populariti

* Menghukum Diri

* Mengerjakan amal secara diam-diam dengan tidak menghebohkan

* Tidak mencari kepujian dan tidak terpedaya dengan sanjungan

* Tidak lokek memuji orang yang berhak dipuji

* Tetap tekun beramal samaada ketika menjadi pemimpin atau orang bawahan

* Fokus kepada kerelaan AllahSWT bukan kerelaan manusia

* Rela dan marah kerana Allah SWT

* Sabar dan selalu Husnudzan

* Gembira dengan adanya potensi baru

* Fokus kepada amal paling bermanfaat

* Tidak sombong

* Tidak merasa diri paling suci

KEUTAMAAN IKHLAS

Ada banyak teks Al- Quran dan sunnah NabiNya yang membincangkan tentang keutamaan ikhlas serta kedudukannya dalam agama Islam. Allah SWT dalam kitab suciNya menyeru kepada segenap umat manusia untuk mentradisikan keikhlasan. Perintah keikhlasan itu disebut dalam banyak ayat Al – Quran, terutamanya dalam surah-surah Makkiyah (wahyu-wahyu yang turun di bumi Mekah). Demikian itu, berkaitan dengan penjernihan tauhid, penyucian akidah dan peneguhan tujuan semata-semata untuk Allah. Allah berfirman yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Kitab (Al – Quran) dengan (membawa) kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya.” ( Az- Zumar : 2)

Antara para mukhlisin yang beroleh penghormatan tinggi dari Allah atas keikhlasan amal perbuatan mereka itu adalah :

1. Al-Abraar (Para pengamal kebajikan).

2. Para penderma harta pada jalan Allah SWT.

3. Para penyabar dan pendoa yang tidak berpaling kepada sesuatu selain Allah SWT.

4. Ulul Albaab (Cerdik Pandai)

Pesan Al – Quran Tentang Keutamaan Ikhlas

Disamping keutamaan ikhlas tersebut di atas, ada banyak lagi firman Allah SWT yang memberitahu sisi keutamaan atau fadilat orang-orang yang hidup ikhlas dan sentiasa menghiasi kehidupan mereka dengan nilai-nilai keikhlasan. Fadilat ikhlas itu sebagaimana diterangkan di dalam Al – Quran, iaitu :

1. Orang yang ikhlas adalah pengamal agama utama.

2. Orang yang ikhlas bakal peroleh pahala agung daripada Allah.

3. Orang yang ikhlas tempat kembalinya adalah syurga.

4. Orang yang ikhlas tidak tersesat ke jalan yang tidak diredai Allah. Orang yang ikhlas tidak akan terpedaya dengan pujuk rayu mahupun tipu daya syaitan.

5. Orang yang ikhlas selalu dalam naungan petunjuk Allah SWT.

6. Orang yang ikhlas amal dan ibadatnya tidak sia-sia.

7. Orang yang ikhlas adalah pengamal kebajikan utama dan kuat asas hidupnya di dunia ini.

8. Orang yang ikhlas bakal ditolong dan dimenangkan Allah SWT.

9. Orang yang ikhlas hidupnya bakal Husnul Khatimah (kematian yang baik)

10.Orang yang ikhlas bakal melihat wajah Tuhan di syurga.

BERKAT KEIKHLASAN
Hidup ikhlas melahirkan berkat kehidupan bagi pengamalnya. Ada banyak manfaat dan nilai-nilai positif yang lahir dari perilaku ikhlas. Ada banyak nilai kebaikan yang lahir dari keikhlasan yang sangat berguna bagi jiwa dan bermanfaat bagi kehidupan para pengamalnya, mahupun kemanusian universal. Antara berkat keikhlasan itu adalah :

* Jiwa tenteram dan damai

* Kekuatan semangat rohani

* Gerak kerja yang tidak kenal titik berhenti

* Mengubah pekerjaan biasa menjadi amal ibadah

* Menjamin pahala amal meskipun belum ditunaikan

* Ditolong Allah ketika dalam kesukaran hidup

* Memberikan sumbangan positif

PENUTUP

Ikhlas memang mudah diucapkan dengan lisan, tetapi sukar dipraktikkan. Ia perlu kepada usaha dan latihan yang berterusan untuk menerapkannya dalam kehidupan nyata. Perlu doa dan pertolongan Allah untuk mewujudkannya dalam kehidupan seharian. Sebab, ikhlas adalah ‘perilaku’ hati, justeru hanya Allah dan pengamalnya yang mengetahui kesejatiannya.

Maka, marilah bersama-sama memohon kepada Allah agar diberkati hidup ikhlas, serta kita dipimpin oleh-Nya untuk mampu memaknakan dan menerapkan kandungan Al - Quran.

No comments:

Post a Comment