Point2sop

Followers

Saturday, August 13, 2011

kamu ingat aurat main2??

Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.

Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja undefinedkerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).

Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.

Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.

Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.

Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.

Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...

- Diera -

JAWAPAN

Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-

1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh.

Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-

* Aurat wanita apa sudah jadi?

* Wanita, aurat dan Kerjaya

Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.

Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.

Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.

Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.

Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.

Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!

Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.

Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.

Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.

Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.

Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.

Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.

Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.

Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum

Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung

Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.

Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.

Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.

Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'

Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.

Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha

Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.

Sabda Nabi yang bermaksud:- Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya ..

( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.

Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.

Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.

Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.

Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama, saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :

Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.

Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.

Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan iaitu seksi.

Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.

Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.

4) BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH.?

Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin beurbah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.

Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.

Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.

Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.

Sekian

Monday, August 1, 2011

18 sebab kenapa jawatan guru kerajaan menjadi pilihan anda

Assalamualaikum / salam sejahtera,

Berikut adalah 18 sebab mengapa jawatan guru kerajaan menjadi pilihan anda, benar atau tidak kita sama-sama perhatikan.
Banyak kelebihannya bekerja dengan sektor awam dan saya percaya disebabkan kelebihan-kelebihan inilah mengapa begitu ramai orang memohon jawatan kosong yang diiklankan di sektor awam.

Antara kelebihan-kelebihan yang anda dapat sebagai seorang penjawat awam ialah:

1. Jaminan pekerjaan
Jaminan pekerjaan merupakan aspek utama oleh semua orang yang inginkan kerja makan gaji. Dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil, kerjaya di sektor swasta boleh membawa risiko ketika syarikat menghadapi masalah kewangan. Banyak organisasi yang muflis. Jarang berlaku pembuangan pekerja di sektor awam walaupun ketika ekonomi meleset. Malah pihak kerajaan pula yang menyediakan lebih peluang kerjaya memandangkan kekurangan sumber pekerjaan di sektor swasta.

2. Elaun perumahan
Anda dapat elaun perumahan pada setiap bulan. Usah risau lagi untuk membayar sewa bulanan rumah anda kerana elaun ini sudah pasti akan membantu. Sebulan dapat RM250. Jika anda tinggal di kawasan Sabah atau Sarawak, bayaran yang diterima lebih tinggi iaitu RM600 - RM900.

3. Cost of living allowance (COLA)
Anda bekerja di bandaraya yang taraf hidupnya adalah tinggi? Memang semuanya mahal, dari tambang bas, makan, tol dan lain-lain. Tahukah anda bahawa COLA ini dibayar berdasarkan di bandar mana anda bekerja? Sekurang-kurangnya anda akan dapat RM300 sebulan.

4. Elaun pedalaman
Sekiranya anda ditempatkan di kawasan pedalaman, elaun sebanyak RM500, RM1000 atau RM1500 sebulan akan menjadi milik anda.

5. Elaun Wilayah
Jika anda berasal dari Semenanjung dan ditempatkan di Sabah dan Sarawak, anda akan mendapat elaun ini dengan kiraan 17.5% dari gaji kasar anda.

6. Imbuhan tetap khidmat awam (ITKA)
Jika anda bertugas sebagai kakitangan awam yang bertaraf pengurusan dan profesional, Anda layak mendapat RM300.

7. Kenaikan gaji setiap tahun
Anda berkhidmat untuk kerajaan, sudah pasti ada kenaikan gaji tahunan anda. Lebih lama anda berkhidmat, lagi tinggi kenaikan gaji yang anda perolehi. Sudah pasti anda sukar nikmati kenaikan ini di mana - mana selain di sektor awam.

8. Kemudahan pinjaman komputer dan kenderaan
Anda mahu buat pinjaman komputer ataupun pinjaman kenderaan? Dengan sepantas kilat anda boleh mendapatkannya.

9. Cuti tahunan mengikut kelayakan
Tahukah anda bahawa cuti diberikan paling minima adalah 14 hari iaitu buat pekerja am. Jika anda berjawatan professional, cuti anda adalah 25 hari. Itu belum campur lagi dengan kenaikan cuti tahunan dan juga kenaikan pangkat.

10. Cuti bersalin sehingga 90 hari
Usah risau jika anda rasa anda atau isteri anda perlu ambil cuti bersalin sehingga 90 hari. Sudah tentu ianya diberikan dengan tanpa potongan gaji.

11. Pinjaman perumahan
Anda boleh mula memiliki aset terbesar dalam kehidupan anda, iaitu rumah. Dalam masa yang singkat, anda sudah boleh mula membuat pinjaman untuk membeli banglo idaman anda. Dan yang paling penting ialah kadar faedah yang ditawarkan lebih rendah berbanding bank.

12. Caruman KWSP atau pencen
Anda pilih mana anda suka. KWSP atau pencen? Kedua-duanya ada kelebihan tersendiri. Jadi, usah risau akan masa depan anda lagi. Anda kerja sehingga tiba waktu untuk bersara dan nikmati faedah pencen hingga ke akhir hayat. Wang pencen akan masuk ke dalam akaun bank seperti anda masih bekerja dengan kerajaan. Bagi mereka yang bekerja di sektor swasta, mereka hanya mempunyai akaun KWSP atau EPF. Simpanan KWSP akan diberi secara langsam kepada pesara dan tidak menerima pencen seperti pekerja kerajaan.

13. Bersara pada umur 58 tahun
Sungguh lama anda berkhidmat dalam kerajaan. Jika di luar sana, adakah anda akan diberikan
peluang berkhidmat selama itu?

14. Peluang kenaikan pangkat
Siapa tak nak naik pangkat kan? Naik pangkat maknanya naik gaji dan juga anda naik setingkat lagi dari tahap anda sebelum ini. Kiranya anda jadi seperti bos.

15. Peluang melanjutkan pelajaran
Sambung belajar pun diberikan peluang. Dan untuk makluman, anda juga akan diberi peluang tajaan untuk menyambung pelajaran anda. Sudah tentu ini memberikan 1001 kebaikan buat anda dan juga kerajaan.

16. Peluang untuk berkursus dari semasa ke semasa
Boleh dikatakan pada setiap bulan anda akan dihantar ke kursus. Sudah tentu banyak ilmu pengetahuan yang anda pelajari percuma yang ditanggung oleh kerajaan. Jika anda hadir sendiri kursus tersebut, anda perlu membayar yuran yang mencecah 4 angka dalam masa setahun.

17. Lebih banyak masa diluangkan bersama keluarga
Ya, kini anda akan punyai lebih banyak masa bersama keluarga berbanding kehidupan sebelum ini. Dan keluarga anda semakin menyayangi anda seadanya.

18. Kerja anda tidak seteruk sektor swasta
Kebanyakan masyarakat beranggapan bekerja dalam sektor awam adalah seperti masuk jam 8 pagi dan keluar jam 5 petang. Namun tanggapan ini meleset sama sekali kerana terdapat sebahagian staf awam yang bekerja lebih masa untuk berkhidmat untuk negara. Akan tetapi jika hendak dibandingkan dengan staf swasta, pastinya lebih ramai di antara mereka yang terpaksa membanting tulang semata-mata hendak berkhidmat kepada syarikat.

Yang penting kita mestilah berusaha & tawakal... semua rezeki kita telah ditetapkan oleh Allah SWT sejak dulu lagi..